Roselle FAMA Rompin Pahang

Dengan pengeluaran hasil sebanyak 32 tan tahun lalu membabitkan dua kawasan seluas 24 hektar meletakkan Rompin sebagai pengeluar utama roselle di Pahang untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.


Projek kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu mula diusahakan pada 2008 membabitkan 40 petani di Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
 
Rata-rata petani wanita terbabit mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 semusim. Selepas roselle, mereka mengusahakan tanaman seperti keledek, sayuran dan jagung.

Pegawai FAMA Rompin Khairol Mohd Yonan berkata, pokok roselle mengeluarkan hasil selepas dua bulan ditanam dan hanya mampu hidup antara tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, kemuncak pengeluaran buah pada bulan ketiga dan hasilnya dituai setiap minggu. Proses menggred dan ‘deko’ atau membuang biji roselle perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

“FAMA Rompin bertanggungjawab sepenuhnya membeli hasil petani dengan menawarkan harga antara RM3 hingga RM4.50 sekilogram mengikut gred. Buah berkenaan dibeli FAMA Johor untuk diproses menjadi produk hiliran selain dieksport.

“Buah roselle daerah ini terkenal kerana berkualiti tinggi apabila berjaya menembusi pasaran Australia sejak beberapa tahun lalu. Buah gred A biasanya digunakan sebagai hiasan dan diletakkan pada gelas minuman.

“Tahun lalu pengeluaran roselle daerah ini mencecah 32 tan membabitkan dua kawasan penanaman. Hasil tertinggi di ladang Kampung Tebu Hitam sebanyak 26 tan,” katanya.

Khairol berkata, sebuah pusat pengumpulan dibina di Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam untuk kemudahan petani melakukan aktiviti mengred dan deko.

“Setiap hari petani akan berkumpul melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan dan seminggu sekali lori FAMA Johor akan datang untuk mengambil buah roselle. Sebelum itu proses menimbang dan mengred mengikut bakul dilakukan sebelum pembayaran,” katanya.

Khairol berkata, petani mendapatkan bekalan benih roselle dan khidmat nasihat penanaman dan penjagaan pokok itu daripada pegawai Jabatan Pertanian Rompin .

“Setiap petani menanam pokok roselle antara 0.2 hingga 0.4 hektar dan mampu meraih pendapatan hingga RM3,000 semusim,” katanya.

Katanya, selepas tanaman roselle, petani akan beralih dengan pelbagai jenis sayuran selain jagung, labu dan kacang tanah secara pusingan.

“Taburan hujan yang berlebihan menjejaskan aktiviti pertanian di daerah ini. Kemarau juga turut menjejaskan pengeluaran roselle apabila banyak pokok mati dan terbantut, sekali gus menjejaskan pendapatan peserta yang kebanyakan bergantung kepada aktiviti pertanian untuk menambah pendapatan keluarga.

“Pengeluaran keseluruhan buah roselle tahun ini dijangka menurun berbanding tahun lalu disebabkan kemarau yang menyebabkan banyak tanaman tidak menjadi,” katanya.

Peserta Noramizan Abd Hamid, 59, berkata, dia mengusahakan tanaman roselle sejak 2010 di tanah seluas 0.2 hektar di Kampung Desa Murni berhampiran rumahnya.

Katanya, hasil pengeluaran roselle setiap tahun tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca dan penjagaan.

“Saya mengusahakan tanaman bersama suami dan anak-anak. Mereka membantu melakukan aktiviti seperti membaja dan merumput termasuk memetik buah serta membuang biji atau deko.

“Hasil jualan dapat menambah pendapatan keluarga. Saya mampu meraih pendapatan hingga RM2,000 semusim,” katanya yang akan mengusahakan tanaman sayuran selepas selesai projek roselle.

Beliau berkata, sokongan FAMA yang menguruskan aktiviti belian dan khidmat nasihat pemasaran menambahkan semangat petani untuk terus mengusahakan tanaman itu walaupun terpaksa berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

Bagi Salmah Salleh, 40, yang mengusahakan tanaman roselle seluas 0.2 hektar, tanah di Kampung Desa Murni yang subur menjadi kelebihan untuk tanaman roselle dan sayuran.

Katanya, walaupun mengusahakan tanaman roselle secara sambilan, hasil diraih begitu menggalakkan kerana dalam masa tiga bulan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 berjaya diraih dengan hanya bermodalkan kira-kira RM500.

“Saya menanam roselle secara sambilan bagi memenuhi masa lapang kerana tanaman itu tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Anak benih memerlukan siraman setiap hari jika panas manakala proses membaja dilakukan sekali sahaja sebelum pokok berbuah.

“Pokok roselle mengeluarkan hasil selepas tiga bulan ditanam, kemuncak pengeluaran buah pada bulan ketiga hingga ke empat sebelum pokok mati,” katanya yang mendapat bantuan suami dan anak untuk memungut hasil.

Sumber: myMetro